Amanat Guru Besar

abg-zainal-jpeg

Bismillahirrahmaanirrahiim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh, salam sejahtera dan salam hormat untuk semua warga Sekolah Kebangsaan Asyakirin dan ahli-ahli Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG).

Alhamdulillah dan bersyukur kepada Allah SWT atas kurnia dan nikmat-Nya dapat kita bersua kembali pada tahun 2017. Tahun 2017 sudah semestinya kita akan hadapi dengan hati yang cekal dan semangat yang tinggi. Di kesempatan ini juga saya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua warga SK Asyakirin di atas sumbangan dan pengorbanan yang dilakukan sepanjang tahun 2016 demi memastikan kecemerlangan murid-murid secara berterusan. Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada yang Dipertua PIBG, Encik Johan Bin Ismail dan seluruh ahlinya atas setiap bantuan yang telah diberikan kepada pihak sekolah. Kerjasama yang erat dan sokongan tidak berbelah bahagi PIBG banyak memberi kebaikan kepada sekolah.

Tahun 2016 telah berlalu dan tahun 2017 pula diharapkan dapat memberi harapan baru kepada kita agar lebih bersemangat dan ikhlas melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang digalas. Usaha padu dan jitu perlu digembeleng bersama-sama ke arah pendidikan yang berkualiti dan kejayaan yang berterusan dari bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah murid.

Sejajar dengan perubahan demi perubahan dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah, kita juga mesti meningkatkan ilmu pedagogi agar anak didik yang kita ajar mendapat manfaatnya. Setiap guru dan anggota kakitangan pelaksana perlu tahu dan peka dengan kehendak semasa yang mana pendidikan berkualiti dan melahirkan murid yang seimbang dari segi akademik dan sahsiah merupakan perkara yang sangat penting.

Ada 5 perkara utama yang kita akan cuba capai dalam tahun 2017 ini. Pertama, memastikan murid-murid Pra Sekolah menguasai asas membaca, menulis dan mengira. Kedua, mencapai sasaran 95% ke atas dalam saringan linus untuk keseluruhan kelas Tahap 1. Ketiga, sasaran untuk mencapai 75% menguasai matapelajaran dalam UPSR. Keempat, mengurangkan pelanggaran disiplin berat dan ringan. Kelima, memastikan kehadiran murid sentiasa berada dalam 90% ke atas keseluruhannya.

Akhir sekali, saya berdoa agar setiap niat suci dan keinginan kita untuk berada dalam kelompok sekolah cemerlang akan dimakbulkan Allah dan mendapat keberkatan-Nya.

Sekian. Wabillahit taufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Encik Abang Zainal Abidin Bin Abang Zaini, Guru Besar SK Asyakirin.

Advertisements